Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 sebagai usaha memperkukuh dan menonjolkan kualiti produk tempatan. Sekali gus mampu memacu pertumbuhan positif terutama menerusi sektor perdagangan pengedaran negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KBBM yang bertemakan ‘Jom Beli Lokal’ turut menjadi langkah strategik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi domestik serta membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) tempatan dalam meluaskan jaringan pasaran.
“Inisiatif ini juga turut mendapat kerjasama rakan strategik dalam industri peruncitan, termasuk melalui platform e-dagang dan memperkasa penembusan produk tempatan ke peringkat antarabangsa melalui program ‘Local to Global Retail’,” katanya.
Setakat Disember tahun lalu, sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.766 trilion iaitu peningkatan sebanyak 5.5% berbanding tahun sebelumnya.
Manakala tiga platform pengendali e-dagang iaitu TikTok, Shopee, dan Lazada telah menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM.
Dalam perkembangan sama, KPDN juga turut melancarkan Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 bagi Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.
Mengambil kira sambutan positif tahun lalu, siri Jelajah tersebut akan diteruskan melibatkan enam zon utama iaitu Zon Selatan , Utara, Timur dan Tengah serta Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.-Berita RTM