Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Pulau Pinang menarik pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM6.7 bilion, mewakili 22 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara pada suku pertama 2025.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pencapaian terkini itu meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri penyumbang kedua tertinggi selepas Sabah membabitkan 36 projek pembuatan yang diluluskan serta dijangka mewujudkan 4,577 peluang pekerjaan baharu.

“Apa lebih memberangsangkan, 90 peratus jumlah pelaburan ini bersamaan RM6.1 bilion datang daripada sumber pelaburan asing, mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab global yang dipercayai dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi dan inovasi.

“Pecahan pelaburan juga mencerminkan kekuatan industri kita dengan 79 peratus disalurkan ke dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta 15 peratus ke dalam sektor jentera dan peralatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan pelaburan asing tertinggi RM2.4 bilion, diikuti Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Taiwan (RM1.1 bilion) dalam tempoh itu dengan minat berterusan berkenaan dilihat sejajar prestasi kukuh Pulau Pinang tahun lalu dengan Singapura merekodkan RM4.0 bilion, AS (RM2.9 bilion) dan Taiwan (RM2.1 bilion).

Katanya, momentum peningkatan dicapai hasil fokus berterusan Pulau Pinang membina ekonomi berdaya tahan dipacu inovasi ditambah faktor kedudukan strategik negeri itu dalam rantaian bekalan global yang diperkukuh infrastruktur industri yang mantap serta tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

Tambahnya, Pulau Pinang turut giat meneroka bidang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan maju dan pembuatan peralatan berketepatan tinggi sejajar Strategi Semikonduktor Nasional, pada masa sama memupuk sektor baharu seperti teknologi perubatan dan perkhidmatan perniagaan global bagi memastikan pertumbuhan lebih luas dan mampan.

“Pengumuman hari ini bukan sekadar cerminan kejayaan masa lalu, tetapi isyarat bahawa Pulau Pinang bersedia menerajui transformasi industri Malaysia dengan berani secara strategik menerusi kerjasama erat dengan semua rakan sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya.-BH Online