Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 21 Jun-Institusi pendidikan swasta merupakan rakan strategik dalam memperkasa pendidikan Islam di negara ini, dan bukan pesaing kepada institusi agama di bawah kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa usaha murni institusi pendidikan swasta dalam mendidik anak bangsa wajar disambut baik dan tidak seharusnya dibebani dengan kerenah birokrasi.

“Saya ingat yang paling penting adalah objektif daripada Sekolah Hatimurni ini untuk melahirkan anak-anak yang bukan sahaja berjaya dalam keputusan UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA) mereka.

“Tetapi juga berjaya menjadi pelajar-pelajar yang dapat menghayati ilmu yang dipelajari serta menjadi insan dan anak-anak yang beriman dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Skor A UPKK di sini.

Beliau yang menyokong penuh inisiatif pendidikan swasta, menyifatkan kejayaan cemerlang para pelajar sebagai simbol komitmen terhadap pendidikan berteraskan ilmu, akhlak dan iman.

Masyarakat juga diseru agar bersama-sama memperkukuh institusi pendidikan Islam melalui sokongan idea, tenaga dan sumber kewangan.-Berita RTM