KUCHING: Program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terus memainkan peranan penting sebagai satu bentuk pemulihan sosial, bukan sekadar hukuman alternatif.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata PKM memberi ruang dan peluang kepada pesalah muda serta kanak-kanak untuk membetulkan kesilapan lalu dan memperbaiki diri.
Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) kadar kejayaan mencapai antara 70 hingga 80 peratus.
“Kita semua pernah buat silap cuma bezanya, bukan semua orang diberi peluang kedua.
“Tetapi melalui program PKM, kita memberi ruang kepada pelatih untuk baiki diri dan beri semula kepada masyarakat,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Program Ilmu dan Bakti, Pelatih PKM Tahun 2025 dan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di Kampung Pulo Hilir, di sini, hari ini.
Nancy berkata, sejak diperkenalkan pada 2008 sehingga 2024, sebanyak 10,522 kes dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 8,125 adalah pesalah muda, 2,163 kes pesalah kanak-kanak dan 234 kes pesalah dewasa.
“Bagi Sarawak pula, sehingga Mei 2025 sebanyak 30 kes aktif yang sedang dikendalikan iaitu 22 pesalah muda, tujuh pesalah kanak-kanak dan satu kes pesalah dewasa.
“Pelaksanaan program itu turut menyumbang kepada 1.85 juta jam khidmat masyarakat,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar kes membabitkan pesalah yang diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani program itu selepas didapati bersalah dalam kes seperti terbabit dalam aktiviti samseng jalanan dan penyalahgunaan ketum.
Kes tunggal pesalah dewasa di Sarawak membabitkan seorang lelaki yang mengaku bersalah kerana membiarkan anaknya yang bawah memandu tanpa lesen yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan lima maut, awal tahun ini.-BH Online