IPOH: Kerajaan Perak meminta jabatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari jawapan punca bunyi letupan dan gegaran di beberapa kawasan di sini, Rabu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kejadian berkenaan termasuk yang berlaku Oktober tahun lalu menimbulkan kacau ganggu terhadap ketenteraman serta rutin harian penduduk.
“Jadi sudah sampai masanya jabatan serta agensi berkaitan menyediakan laporan dan kajian penuh punca berlakunya bunyi letupan itu,” katanya pada sidang media selepas menutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai bagaimanapun dinasihatkan agar tidak menyebarkan perkara yang tidak benar berhubung insiden berkenaan.
“Orang ramai juga tidak perlu resah atau bimbang kerana setakat ini keadaan terkawal, malah tiada insiden buruk dilaporkan,” katanya.
Pada 18 Jun lalu, orang ramai mendakwa mendengar bunyi letupan dan gegaran sekitar Chemor dan Chepor, di sini pada 10.30 pagi, namun sehingga kini puncanya masih belum diketahui.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam sidang media keesokannya memaklumkan polis akan mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi mengetahui punca bunyi letupan dan gegaran itu.
Pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat turut dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput pada 11.06 pagi, disusuli bunyi dentuman kuat dengan siasatan tidak dapat mengesahkan punca kejadian. – BERNAMA