Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu menyelaraskan perundangan berkaitan hak asasi manusia bagi mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaannya, kata Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, sistem perundangan negara yang berteraskan warisan undang-undang British serta undang-undang Islam menimbulkan dilema dalam pelbagai aspek pentadbiran, antaranya membabitkan hal ehwal kekeluargaan dan pendaftaran perkahwinan. 

“Malaysia berdepan cabaran kerana banyak amalan yang kita warisi daripada sistem perundangan British, sebelum diperkenalkannya sistem berasaskan Islam yang lebih memberi penekanan kepada hal kekeluargaan. 

“Akibatnya, wujud konflik dalam undang-undang kita sendiri yang perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan ia menjadi isu politik, lebih-lebih lagi memandangkan kepelbagaian latar belakang rakyat di negara ini,” katanya berucap pada majlis penutup Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus. 

Fadillah berkata, penyelarasan pentadbiran amat penting bagi menangani isu perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara tetapi tidak didaftarkan dalam negara, sehingga memberi implikasi kepada status serta hak anak yang dilahirkan. 

“Jika perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia, ia mencetuskan masalah pentadbiran. Anak tidak dapat diiktiraf sebagai anak sah, seterusnya tidak boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

“Ia bukan sahaja menjejaskan pasangan, bahkan memberi kesan besar kepada anak kerana mereka tidak akan mendapat manfaat yang sepatutnya menurut dasar dan perundangan negara,” katanya. 

Katanya, isu perkahwinan campur yang menimbulkan persoalan berkaitan kelayakan memiliki tanah rizab Melayu serta status anak di bawah perundangan negeri terutama di Sabah dan Sarawak juga perlu diselaraskan. 

“Jika berlaku perkahwinan antara Melayu dan Cina misalnya, timbul persoalan sama ada pasangan itu layak mendapat tanah rizab Melayu, apatah lagi jika mereka tidak boleh berbahasa Melayu walaupun sudah memeluk Islam,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mengadakan rundingan dan muzakarah secara berkala bersama kerajaan negeri supaya dasar dapat diselaraskan serta tidak bercanggah dengan pentadbiran negeri. 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, jika isu berkaitan terus dibawa ke mahkamah tanpa penyelesaian pentadbiran yang menyeluruh, ia berisiko menimbulkan ketidakadilan dalam sistem perundangan sivil dan syariah. 

“Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada konflik tafsiran undang-undang sivil, syariah serta hak asasi manusia dalam pelbagai aspek, termasuk dari segi kesaksian saksi yang mungkin ditolak hanya kerana latar belakang mereka,” katanya. 

Justeru, Fadillah berharap muzakarah berkenaan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan resolusi yang selari antara kerajaan negeri dan Persekutuan. 

“Apa yang kita mahukan adalah jalan tengah serta penyelesaian tuntas terhadap masalah yang timbul hasil sejarah serta latar belakang sistem perundangan negara,” katanya.-BH Online