Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran dinasihatkan meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.

Nasihat itu dikeluarkan Kementerian Luar (KLN) yang memantau perkembangan keselamatan di Iran melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia. 

“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan

kementerian ini,” kata kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini.

Katanya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran kekal sebagai keutamaan, selain usaha dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Zionis terhadap Iran Jumaat lalu, yang memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran ketika ini terus berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Iran. Semua mereka disahkan selamat dan sudah dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran juga akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran,” katanya.

Jumaat lalu, Israel dilaporkan berkata, serangan ke atas Iran pada dilancarkan susulan kebimbangan terhadap tindakan Tehran membangunkan keupayaan senjata nuklear sejak kebelakangan ini.

Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di Tehran selepas Israel melancarkan serangan, awal pagi Jumaat lalu.

Operasi ketenteraan Israel itu menyasarkan sistem pertahanan udara Iran serta beberapa lokasi utama program nuklear dan ketenteraan, mengorbankan puluhan nyawa termasuk komander tentera tertinggi dan saintis atom, menurut pihak berkuasa Tehran.

Rentetan serangan itu, Iran dalam tindak balasnya melancarkan gelombang serangan peluru berpandu baharu ke atas Israel Sabtu lalu, mencederakan beberapa orang di kawasan kediaman, manakala Israel mengesahkan ia sedang menyerang ibu kota Tehran.

Serangan balas itu berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar menyerang setiap sasaran di Iran, manakala Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, memberi amaran sebarang serangan lanjut akan dibalas dengan tindak balas lebih dahsyat dan berkuasa.

Sementara itu, KLN berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, bilik gerakan diaktifkan berkuat kuasa hari ini, dengan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia yang berada di Iran boleh menghubungi untukmendapatkan maklumat lanjut di +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.

Jika berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau menerusi talian +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 serta emaildi mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com. – BH Online