PUTRAJAYA: Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan kadar pelaksanaan mencecah 89.7 peratus serta menyumbang sebanyak RM149 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata nilai eksport negara membabitkan sektor terbabit juga merekodkan sebanyak RM61.8 bilion.
“Saya percaya, pencapaian ini menjadi petunjuk jelas bahawa hala tuju pembangunan industri halal kita berada pada landasan yang tepat.
“Ia juga semakin diyakini bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga oleh pasaran antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut terus memperkukuh ekosistem halal melalui pengembangan 14 ‘Halal Parks’ (Taman Halal) membabitkan keluasan 200,000 ekar (80,937 hektar) di seluruh negara.
Katanya, taman halal terbabit bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pengeluaran dan logistik produk halal, malah berfungsi sebagai platform pelaburan yang menarik bagi syarikat tempatan dan antarabangsa.
“Setakat suku pertama tahun 2025, Halal Parks merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM3.8 bilion. Ini membuktikan bahawa daya saing ekosistem halal kita terus menjadi tarikan utama dalam landskap pelaburan serantau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, seiring dengan hasrat untuk melonjakkan nilai pelaburan serta merangsang guna tenaga dalam industri halal, kerajaan sudah memperkenalkan kerangka baharu HALMAS (Halal Malaysia) yang lebih dinamik dan berpaksikan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
“Melalui kerangka ini, Malaysia menyasarkan pelaburan terkumpul sebanyak RM25 bilion dalam sektor halal sehingga tahun 2030, disertai dengan inisiatif pembangunan infrastruktur, pemantapan tadbir urus dan pemerkasaan insentif pelaburan yang lebih kompetitif.
“Kerajaan juga sedang meneliti penggubalan ‘Bill of Guarantees’, menawarkan insentif mesra pelabur, menyepadukan perkhidmatan HALMAS ke dalam Portal Sehenti Digital MIDA, serta memperkenalkan tanda pengiktirafan khas ‘HALMAS Mark of Excellence’ sebagai simbol kualiti dan piawaian global,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menggesa semua kerajaan negeri supaya mengemukakan pelan intervensi khusus bagi memperkasa taman halal masing-masing, terutama yang masih berdepan kadar penyertaan industri yang rendah.
Jelasnya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan dan keberkesanan setiap inisiatif yang dirancang, selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab halal yang mampan, inklusif serta kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Mesyuarat pada hari ini turut menyaksikan pelancaran inisiatif ‘Women in Halal Industry’ (WHI), sebuah usaha bersepadu yang bertujuan memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem halal negara serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pelbagai peringkat rantaian nilai industri.
“Inisiatif ini diterajui oleh Datuk Seri Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dengan kerjasama Halal Development Corporation Berhad dan akan memberi ruang lebih luas kepada tenaga wanita untuk terus menyinar dalam sektor ini,” katanya.-BH Online