Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedang meneliti alasan dikemukakan calon yang gagal melaporkan diri pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2025 bermula 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata seterusnya laporan berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada kementerian dalam masa terdekat untuk tindakan susulan memandangkan kehadiran ke program berkenaan adalah wajib.

“Memang ada beberapa (individu) tidak hadir dan buat masa ini, kita sedang menerima serta meneliti semua laporan secara terperinci (alasan ketidakhadiran pelatih terbabit).

“Saya yakin dalam tempoh terdekat, JLKN akan membentangkannya kepada Kementerian Pertahanan.

“Namun secara asasnya, proses ini adalah bagi memberi kesedaran bahawa apabila terpilih, mereka wajib mendaftarkan diri dan kita ada keperluan untuk menggunakan akta yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Adly berkata, penelitian dilakukan kerana kehadiran calon adalah tertakluk bawah Bahagian Undang-Undang selaras dengan Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), iaitu individu terpilih yang tidak hadir tanpa alasan munasabah boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 344 pelatih PLKN 3.0 Siri 2 2025 telah melapor diri bagi menjalani latihan selama 45 hari dari 11 Mei hingga 24 Jun ini.

Jumlah itu membabitkan seramai 206 pelatih lelaki dan 138 wanita yang melapor diri di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang, dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.

Setakat ini, Adly berkata, antara alasan utama ketidakhadiran yang diberikan pelatih ialah berkaitan kesihatan, pekerjaan dan menyambung pelajaran.

“Pihak kita juga sedang cuba menambah baik aspek berkaitan agar kehadiran adalah 100 peratus bagi setiap sesi program dijalankan,” katanya.

Sementara itu pada majlis hari ini, seramai 1,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan anggota, balu serta waris Veteran ATM Melaka dan Negeri Sembilan, menerima PJM yang merupakan kurniaan atas keperwiraan dan pengorbanan anggota tentera dalam melaksanakan kewajipan kepada negara.

Setakat Mac lalu, seramai 48,346 warga veteran ATM yang memenuhi syarat telah menerima PJM sejak penganugerahan itu dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada Mac 2004.-BH Online