Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN dalam landasan untuk muncul sebagai salah satu pembekal tenaga boleh baharu utama dunia menerusi pengukuhan kerjasama serantau dan pembangunan Grid Kuasa ASEAN (APG).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju APG yang disasar untuk dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

“Filipina dijangka meneruskan pelaksanaan APG pada tahun depan. Usaha ini bukan sahaja menjamin keterjaminan tenaga dan kelestarian alam sekitar, malah mampu menarik pelaburan asing ke rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk ‘Memperkasa Ekosistem Tenaga Masa Depan Asia’ di persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, sehingga kini lima negara ASEAN telah disambungkan melalui grid kuasa serantau, termasuk menerusi Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang menjadi perintis kepada agenda integrasi tenaga ASEAN.

Bagaimanapun, beliau mengakui antara cabaran utama ialah menyelaraskan piawaian dan peraturan teknikal, menyusun model pembiayaan dan perniagaan serantau serta membangunkan infrastruktur kabel dasar laut dan teknologi sokongan.

Katanya, ASEAN turut merancang untuk menubuhkan satu badan pengawal selia serantau bagi menyelaras dasar serta pelaksanaan berkaitan tenaga antara negara anggota.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, Malaysia bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan penyambungan grid tenaga ASEAN, termasuk menerusi pelaburan mencecah AS$40 bilion (RM188 bilion) bagi menaik taraf sistem grid domestik.

“Pelaburan ini adalah sebahagian daripada persiapan Malaysia untuk menyambungkan grid tenaga negara ke semua negara anggota ASEAN menjelang 2027.

“Kami kini dalam fasa menaik taraf infrastruktur grid dalam negara sebelum ia disambungkan ke peringkat serantau,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak sedang menerajui pelaksanaan Grid Borneo yang memainkan peranan penting dalam menyokong jaringan APG.

Ketika ini, Sarawak sudah mula mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat dan dalam perancangan untuk menyalurkan tenaga ke Singapura dan Brunei, sebelum disambungkan ke Filipina dan akhirnya ke Semenanjung Malaysia.

“Grid Borneo ialah komponen penting dalam pembentukan rangkaian tenaga ASEAN secara menyeluruh dan Sarawak berada di barisan hadapan sebagai pengeluar utama tenaga boleh baharu rantau ini,” katanya.-BH Online