Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian levi pendidikan bagi semua institusi pendidikan swasta mulai 1 Januari 2026.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama dalam sejarah kerajaan mengumumkan pengecualian bagi meningkat mutu pendidikan.

“Saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memantau supaya semua institusi pendidikan ini dapat memberi yang terbaik,” katanya pada Majlis Kemuncak National Training Week 2025, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, golongan guru juga harus didedahkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pelajar harus diberikan pengetahuan lebih mendalam mengenai AI.

“Jika tidak, ada kelompongan dalam memberi keperluan semasa dengan mereka yang mendapat latihan.

“Sekiranya negara ingin maju dan mencatat pertumbuhan meyakinkan, negara tidak boleh kekal di tahap lama, latihan serta pendekatan yang lama,” katanya.

Sementara itu, Steven berkata, bagi menggembleng usaha mempertingkatkan kemahiran rakyat dalam aspek revolusi industri 4.0, KESUMA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program ‘AI For Educaters’.

“Program ini antara lain bertujuan untuk melatih hampir 400,000 pendidik seluruh negara dalam penggunaan AI untuk pengajaran mereka.

“Guru sebagai barisan hadapan sektor pembangunan modal insan akan mempunyai ilmu dan kemahiran berdepan dengan cabaran era zaman AI.

“Ini mencerminkan bukan saja komitmen KESUMA, malah Kerajaan MADANI untuk pastikan guru dapat kekalkan kemahiran tercanggih bagi melahirkan rakyat yang mampu berdepan dengan cabaran komitmen abad ke 21,” katanya.-BH Online