Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi program Pembiayaan Berasaskan Hasil (RBF) anjuran Dattel Asia Group sempena OHSEM360 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Inisiatif itu memperkenalkan pendekatan pembiayaan inovatif yang membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuat bayaran balik berdasarkan peratusan tetap daripada hasil jualan bulanan mereka, sekali gus menjadikan ia lebih fleksibel, adil serta mesra aliran tunai.

RBF dilaksanakan melalui platform pintar MyDataHub.Ai yang membolehkan PMKS memohon serta dinilai secara digital menggunakan data prestasi perniagaan daripada pelbagai saluran, termasuk e-dagang, QR Pay dan platform gig.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata sektor keusahawanan negara khususnya PMKS, perlu segera menyesuaikan diri dengan arus perkembangan teknologi moden bagi menjamin kelangsungan dan daya saing dalam pasaran semasa.

“Teknologi berkembang lebih pantas daripada jangkaan dan usahawan tidak lagi boleh bergantung pada kaedah tradisional, sebaliknya mereka perlu mengadaptasi serta mengintegrasikan teknologi agar kekal relevan dan kompetitif.

“Pembiayaan inklusif dan inovatif seperti itu menunjukkan keperluan kepada penyelesaian baharu dalam memperluaskan akses modal kepada PMKS.

“Model pembiayaan berasaskan hasil itu memberi ruang kepada PMKS untuk berkembang tanpa beban komitmen tetap.

“Ia adalah contoh jelas bagaimana teknologi, data dan pembiayaan alternatif boleh digabungkan untuk memberi impak nyata kepada usahawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pembiayaan alternatif yang diperkenalkan oleh Dattel Asia Group itu akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mengakses pasaran modal dan meningkatkan daya saing mereka dalam era digital.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik hasrat Dattel Asia Group, serta menyokong segala usaha pihak swasta dalam mempelbagaikan bentuk pembiayaan alternatif bagi memperkukuhkan ekosistem perniagaan PMKS dan merangsang pembangunan keusahawanan negara.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan PMKS untuk menjadi lebih berdaya saing, inovatif dan mampan pada peringkat domestik serta antarabangsa, KUSKOP memperkenalkan pelbagai inisiatif pembiayaan yang bersasar,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran inisiatif itu ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima, Datuk Mohd Efendi Omar.

OHSEM360 adalah hasil kerjasama antara Media Prima dengan Dattel Asia Group bagi memperkasakan PMKS melalui inovasi, pendidikan dan kerjasama strategik.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Dattel Asia Group, Ashran Ghazi, berkata platform seperti MyDataHub.Ai yang dikuasakan oleh data dan kecerdasan buatan (AI), kini membolehkan lebih banyak perniagaan terutama yang tidak layak mendapat pembiayaan tradisional, untuk mengakses modal serta mendapatkan pandangan bernilai bagi membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak.

“Usahawan tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana mereka tidak memenuhi kriteria pembiayaan konvensional. Dengan data dan AI, kita mampu membuka potensi sebenar mereka.

“Kami berbesar hati melihat penyertaan kukuh daripada rakan pembiaya dan platform teknologi.

“Ia membuktikan sektor swasta mampu bekerjasama secara bermakna dengan kerajaan untuk memberi impak berskala besar kepada PMKS,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah langkah penting dalam mendefinisikan semula bagaimana PMKS boleh mengakses dan memanfaatkan pembiayaan dalam era ekonomi digital.

“Dengan menggabungkan kecerdasan data, modal yang fleksibel serta kerjasama strategik sektor awam dan swasta, model RBF meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam keusahawanan inklusif yang dipacu inovasi.

“Melalui kadar adaptasi digital yang semakin meningkat, penyelesaian seperti itu akan menjadi kunci kepada pertumbuhan berskala, peningkatan daya tahan perniagaan dan memastikan tiada perusahaan berdaya maju yang tercicir,” katanya.-BH Online