Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: New Energy Asia Sdn Bhd, satu usaha sama strategik antara HICOM Engineering Sdn Bhd (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd (HFC) memperkenalkan peralatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerjasama yang terbentuk antara HESB yang juga anak syarikat DRB-HICOM Bhd dan HFC selaku anak syarikat Lotus Technology Inc itu dijangka mempercepatkan sasaran negara memiliki 10,000 stesen pengecasan EV menjelang akhir tahun ini.

“Seperti mana kita sedia maklum, di Malaysia, kita memang sedang dalam peralihan tenaga, kemudian komitmen kita kepada pelepasan karbon menjelang 2050. Untuk stesen pengecasan EV ialah sasaran kita 10,000 menjelang akhir tahun. 

“Setakat ini, pencapaian kita lebih 4,000 dan diharap kita dapat mempercepatkan lagi penambahan stesen ini dengan ada lagi syarikat yang merancang membangunkannya di Malaysia.

“Saya percaya, inisiatif seperti ini (penubuhan New Energy Asia) akan dapat mempercepatkan pembangunan stesen pengecasan di seluruh Malaysia, dan membantu kita mencapai sasaran penjualan kereta EV yang lebih tinggi. Yang lebih penting adalah alam sekitar kita akan terpelihara, pelepasan karbon dapat dikurangkan,” katanya selepas majlis pelancaran New Energy Asia di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi HESB dan juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus, Feng Qingfeng; Ketua Pegawai Operasi HESB, Hazrin Fazail Haroon dan Ketua Pegawai Eksekutif New Energy Asia, Gordon Lee.

Menerusi kerjasama strategik itu, New Energy Asia akan mengedarkan rangkaian lengkap peralatan pengecasan EV dihasilkan HFC, termasuk pengecas DC penyejukan cecair berkuasa 450kW berjenama LOTUS yang mampu mengecas model Lotus Emeya daripada 10 ke 80 peratus hanya dalam masa 14 minit.

Barisan produk lain merangkumi pengecas AC pintar berkuasa 7kW, 11kW dan 22kW, pengecas DC penyejukan udara antara 30kW hingga 240kW, serta pengecas DC penyejukan cecair berkuasa tinggi antara 300kW hingga 450kW.

Pengecas AC itu turut boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna.

New Energy Asia juga akan menyediakan sistem storan tenaga canggih yang mampu menyokong keperluan tenaga mampan untuk kediaman dan sektor komersial.

Sebagai tambahan kepada pelancaran produk, New Energy Asia turut menandatangani beberapa Memorandum Kerjasama dengan rakan kongsi industri untuk membangunkan ekosistem pengilangan pengecas EV tempatan dan penawaran pelengkap lain.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, dengan kehadiran lebih banyak peserta dalam ekosistem EV, ia dijangka mempercepatkan pembangunan infrastruktur tempatan dan memacu jualan EV.

“Makin ramai peserta, sudah pasti ia akan mempercepatkan pembangunan stesen pengecasan EV. Itu yang diharapkan,” katanya.

Sementara itu, Hazrin Fazail berkata, kerjasama antara HESB dan HFC membina sinergi antara pembangunan kenderaan dan peralatan pengecasan EV, sekali gus dapat menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi memenuhi keperluan ekosistem EV masa depan, bermula dari pembangunan sehingga ke sokongan selepas jualan.

“Buat masa ini, pasukan teknikal kami memberi tumpuan penuh kepada peralatan pengecasan. Pada fasa permulaan, peralatan ini akan diimport sepenuhnya (CBU), namun syarikat menyasarkan untuk memulakan pemasangan dan pengilangan tempatan dalam masa terdekat.

“Tumpuan turut diberikan kepada penawaran perkhidmatan selepas jualan kepada pengendali titik pengecasan (CPO) yang menjadi pelanggan utama mereka.

“Menariknya, kami bukan sahaja menekankan kepada aspek perkakasan, malah lebih berfokus kepada pembangunan perisian yang menjadi elemen paling kritikal,” katanya.-BH Online