KUCHING: Tujuh daripada 28 projek bekalan air yang dibangunkan dengan pembiayaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dijadualkan siap tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata PETRA memperuntukkan RM796.4 juta bagi membiayai 28 projek berkenaan di seluruh negara.
Beliau berkata, peruntukan itu disalurkan secara pinjaman kepada kerajaan negeri bagi membiayai pelbagai projek berkaitan bekalan air.
“Daripada 28 projek itu, Sabah mencatat jumlah terbanyak iaitu 12 projek berkaitan bekalan air, Sarawak lima, Pahang dan Terengganu masing-masing tiga, Kedah dan Perlis masing-masing dua, manakala Kelantan satu.
“Projek itu dilaksanakan oleh jabatan atau agensi pelaksana yang dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Menteri PETRA berkata demikian ketika hadir bersama isterinya, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir pada Program Ibadah Korban, Kampung Tupong Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 15 projek kini masih dalam pembinaan, tujuh dalam proses perolehan, dua projek dalam peringkat reka bentuk, empat projek membabitkan pengambilan balik tanah, proses penilaian kejuruteraan dan nota perubahan (NOC).
Katanya, tujuh projek dijangka siap pada tahun ini, lima projek dijadual siap pada 2026, manakala baki 16 lagi dijangka siap pada 2027 ke atas secara berperingkat.
“Tujuh projek yang dijadual siap tahun ini ialah projek menaik taraf pam air mentah dan pam air bersih bertekanan tinggi di Loji Air Arau Fasa I, II dan III serta Intake Guar Sanji, Perlis.
“Projek kedua ialah program peningkatan bekalan air terawat di Loji Rawatan Air Timah Tasoh, Perlis. Turut dijadual siap tahun ini program mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil Lembaga Air Sibu (Fasa 2) serta projek membaikpulih sistem agihan juga di Lembaga Air Sibu (Fasa 2), Sibu, Sarawak,” katanya.
Fadillah berkata, pemasangan paip air retikulasi baharu di daerah Kuala Terengganu dan Marang, Terengganu serta projek mengatasi kekeruhan yang tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Bilut, Pahang juga dijadual siap tahun ini.
Katanya, projek ketujuh yang dijadual siap ialah penambahan kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II dari 80 juta liter sehari (JLH) ke 160 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan di Sabah.
“Projek itu dilaksanakan sebagai persediaan bagi menghadapi musim kemarau berpanjangan ketika musim Monsun Barat Daya,” katanya.
Selain melaksanakan projek baharu bagi memastikan keterjaminan bekalan air, Fadillah berkata, tumpuan utama PETRA kini ialah mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW) yang disebabkan masalah kebocoran paip serta kecurian.
“Berdasarkan purata kebangsaan secara keseluruhan air yang hilang adalah sebanyak 40 peratus daripada air yang kita proses, membabitkan kerugian mencecah berbilion nilai wang.
“Sekarang fokus kita ialah mencari kaedah supaya kita dapat menyelesaikan masalah itu dengan menggantikan paip lama di seluruh negara dan dalam proses penukaran itu kita akan dapat mengesan kegiatan penyambungan haram di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pemantauan berterusan dilaksanakan di semua takungan air bagi memastikan paras air mencukupi ketika musim Monsun Barat Daya.
“Setakat ini paras air di takungan terutamanya di utara Semenanjung masih berada pada paras baik,” katanya.-BH Online