Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Sambutan Aidiladha di Masjid Muhammadi, Angkasapuri berlangsung meriah apabila sebanyak 13 ekor lembu korban ditumbangkan hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk sumbangan daripada warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta komuniti setempat.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil, turut menyumbang seekor lembu bagi pelaksanaan ibadah korban di masjid tersebut.

Beliau berkata, pejabat Parlimen Lembah Pantai secara keseluruhan berjaya mengusahakan sebanyak 76 ekor lembu korban untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Alhamdullah di Masjid Muhammadi, Angkasapuri, saya difahamkan ada 13 ekor lembu yang dikorbankan dan sumbangan dari saya sendiri, seekor.

“Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, di seluruh Lembah Pantai, kita tahun ini alhamdulillah berjaya mengusahakan di seluruh kawasan Lembah Pantai sebanyak 76 ekor dan ada  lima ekor di luar kawasan Lembah Pantai. Alhamdulillah di seluruh kawasan Lembah Pantai, jumlah yang dapat saya dan pasukan usahakan kita sampaikan kepada warga di sini sebanyak 76 ekor”, katanya.

Datuk Fahmi turut menyatakan rasa gembira melihat suasana ceria dan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam program korban itu, termasuk warga RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

“Saya tengok keadaannya sangat-sangat ceria dengan kanak-kanak dan juga warga RTM dan juga IPPTAR yang turut sama membantu dan harapan saya ini akan dapat mengeratkan silaturahim sesama kita. Insya-Allah”, ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri, Datuk Mohamed Irwan Mansor berkata, program korban tersebut menyaksikan penglibatan lebih 200 orang termasuk warga kerja RTM, wanita, kanak-kanak serta penduduk sekitar Angkasapuri yang hadir pada awal pagi selepas solat sunat Aidiladha.

“Kita juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua. Yang meriahnya hari ini, golongan yang muda dan juga golongan yang berpengalaman. Ramai yang anak kecil pun turut sama, wanita dan ini semuanya daripada kakitangan RTM dan juga warga sekitar di Angkasapuri.

Tambah beliau, pihak jawatankuasa masjid turut akan mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti lebih awal menerusi sistem kupon.

“Golongan yang menerima yang AJK Masjid telah kenal pasti, kita bagi kupon, mereka akan datang dan serahkan kupon dan ahli-ahli yang menerima akan kita bahagikan”, ujarnya.

Program korban tahunan itu mencerminkan semangat kerjasama antara institusi, komuniti setempat dan warga kementerian, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim sempena Aidiladha.-BH Online