KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tanpa gangguan mahupun kompromi selepas
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan menolak permohonannya merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Anwar sebelum itu memohon merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Menerusi entri di laman Facebooknya hari ini, Anwar berkata, proses perundangan bagi kes terbabit akan diteruskan.
“Saya komited terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokratik.
“Proses perundangan bakal diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab tanpa gangguan atau kompromi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.
Sementara itu, Anwar berkata, permohonan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang, antaranya sama ada Perdana Menteri memiliki kekebalan daripada sebarang tindakan saman itu, bukan bersifat peribadi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan antara lain turut menegaskan permohonan berkenaan juga bukan untuk mengelak daripada penelitian undang-undang.
Sebaliknya, beliau berkata, ia difailkan berdasarkan kepentingan aspek integriti sistem Perlembagaan negara, selain keperluan memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada tindakan guaman yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.
“Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) petang tadi, menolak permohonan saya merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini (permohonan difailkan Anwar) tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya yang juga Presiden PKR.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan dikemukakan bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei lalu.
Sebelum ini, Muhammed Yusoff memfailkan saman pada 14 Julai 2021 dan Anwar dalam pernyataan pembelaan mendakwa Muhammed Yusoff berbohong ketika bersumpah kepada pihak berkuasa berkaitan insiden serangan seksual itu.
Presiden PKR itu yang memfailkan tuntutan balas pada 28 September 2021, mendakwa Muhammed Yusoff mereka-reka cerita berhubung serangan seksual untuk mencemarkan kerjaya politiknya bagi memastikan beliau tidak menjadi Perdana Menteri.-BH Online