Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Penyertaan Malaysia dalam Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memastikan dasar dan perundangan buruh sentiasa selaras dengan piawaian antarabangsa.

Penyertaan Malaysia dalam ILC penting dalam memperkukuh perlindungan pekerja, meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja dan merangsang kerjasama strategik dalam bidang pembangunan modal insan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan berkata, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu yang diadakan di Geneva, Switzerland.

Katanya, Sim dijadual menyampaikan pidato umum di ILC, selain mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara ASEAN serta pertemuan dua hala bersama wakil dari China, India, Nepal dan Qatar untuk memperkukuh kerjasama dalam isu mobiliti pekerja dan pengurusan buruh rentas sempadan.

“Sepanjang misi rasmi itu, delegasi Malaysia turut mengadakan libat urus strategik bersama pelbagai pihak antarabangsa.

“Antara tumpuan utama ialah pembabitan aktif Malaysia bersama Forum Ekonomi Dunia (WEF) termasuk pelancaran strategi nasional TalentCorp dalam menangani isu bakat dan penyertaan dalam inisiatif Gender Parity Accelerator bertujuan meningkatkan pembabitan wanita dalam tenaga kerja negara,” katanya.

Kenyataan itu berkata, melalui penyertaan aktif dan hubungan erat dengan pelbagai rakan antarabangsa, KESUMA yakin lawatan rasmi ini akan memberi impak positif dalam usaha mengangkat martabat pekerja.

Selain itu, katanya, ia dapat memperkukuh daya saing negara dan mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” katanya.-Bernama