KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya menyelamatkan dana keselamatan sosial negara berjumlah lebih RM48.64 juta sejak 2020 hasil siasatan membabitkan penipuan faedah.
Berdasarkan perangkaan dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 679 kes disyaki penipuan faedah membabitkan pelbagai skim termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan serta Program Saringan Kesihatan (HSP).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata kejayaan itu dicapai hasil siasatan sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan yang disiasat.
“Ini sekali gus mencerminkan tadbir urus dan tata kelola tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya menyampaikan ucaptama perasmian Seminar Penipuan, Pengelakan dan Kesilapan Dalam Tuntutan Keselamatan Sosial dan Insurans anjuran PERKESO dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Presiden dan Pengasas ABIME, Prof Dr Mohammed Ranavaya.
Sim berkata, penipuan faedah bagaimanapun kekal menjadi cabaran apabila kerugian mencecah RM2.1 juta masih direkodkan sepanjang 2024 yang berpunca daripada tuntutan tidak sah.
“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, PERKESO juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.
“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta,” katanya.
Sim berkata, jenayah penipuan adalah pelanggaran perundangan sehingga berupaya menghakis kepercayaan awam terhadap institusi yang ditubuhkan demi menjaga kebajikan pekerja memandangkan sumber dana diseleweng daripada golongan memerlukan.
“Cabaran penipuan kini bersifat global, didorong mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan, justeru Malaysia perlu mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh membabitkan pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan tegas, inovasi digital dan komunikasi secara telus.
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited sepenuhnya menerajui pembaharuan sistem sosial negara membabitkan seluruh ekosistem berkaitan.
“Jadi, saya berharap seminar ini akan menjadi pemangkin kepada integriti sistem keselamatan sosial yang lebih utuh dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Sim turut mengumumkan Mohammed Azman menerima anugerah The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) dan Master Certified Independent Medical
Examiner.
FACIME adalah kelayakan tertinggi dalam bidang perubatan hilang upaya, yang diberikan kepada mereka yang mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan, kemahiran dan kebolehan sebagai seorang pemeriksa perubatan bebas yang berkualiti.
“Anugerah ini bukan saja penghormatan kepada Mohammed Azman dan PERKESO tetapi juga kebanggaan kepada KESUMA dan Malaysia, yang menunjukkan profesional tempatan mampu mencapai pengiktirafan tertinggi pada peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online