Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan harapan agar pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bersetuju menyertai Program Road to Gold (RTG).

Menurutnya, pihaknya sudah pun mengadakan pertemuan dengan Zii Jia minggu lalu dan pemain itu kini mempunyai masa sehingga hujung bulan ini untuk muktamad keputusannya.

“Saya berharap Zii Jia akan menandatanganinya (RTG). Tiada apa yang akan rugi kerana ini adalah program yang dirangka oleh kerajaan kepada atlet yang berprestasi.

“Perjalanan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 masih panjang, masih ada tiga tahun lagi. Dalam sukan, kita tahu akan ada potensi untuk menghadapi kecederaan.

“Jika anda berada di bawah program RTG, anda akan mendapat sokongan untuk penyembuhan, sama seperti apa yang berlaku pada Datuk Azizulhasni Awang dan Ng Tze Yong.

“Keputusan akhir tetap berada di tangan Zii Jia dan saya yakin beliau akan mempertimbangkan semua faktor ini. Dan bukan sahaja Zii Jia, malah semua pemain yang dipelawa,” katanya.

Hannah ditemui pemberita selepas majlis penutup Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin 2025, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan RTG sudah memperincikan kemudahan tambahan yang disediakan dan penambahbaikan dilakukan selepas Sukan Olimpik Paris 2024.-BH Online