Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendidikan nasional apabila mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi Universiti Cambridge, United Kingdom.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pertemuan selama hampir dua jam itu antara lain turut membincangkan potensi kerjasama MARA-Cambridge yang dilihat mampu melonjakkan mutu pendidikan serta pembangunan modal insan negara ke tahap lebih tinggi.

Katanya, antara resolusi utama yang dicapai termasuk hasrat membina laluan akademik khas atau `feeder pathway` bagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), khususnya dari 12 MRSM yang menawarkan kurikulum International General Certification of Secondary Education (IGCSE) untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Cambridge.

“Pihak Cambridge juga menyambut baik inisiatif ini, malah menyatakan persetujuan untuk menghantar delegasi ke Malaysia bagi sesi libat urus bersama Pengetua MRSM IGCSE serta guru kaunselor. 

“Sesi ini penting bagi memperincikan keperluan akademik dan struktur laluan kemasukan ke Cambridge. MARA mempunyai ‘talent pool’ yang luas dan ini akan membuka peluang kepada anak-anak ini melanjutkan pelajaran kemasukan Cambridge.

“Selain itu, pertemuan ini juga membuka peluang besar buat seramai 9,987 warga pendidik MARA di seluruh institusi pendidikan MARA (IPMA), yang meliputi kolej kemahiran, universiti MARA dan MRSM. 

“Pendidik ini berpeluang untuk menjalin pertukaran kepakaran (knowledge exchange), menjalankan penyelidikan bersama serta meneroka peluang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah dalam bidang-bidang strategik di Cambridge,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata bidang strategik itu termasuk tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), sains sosial, teknologi kuantum, block chain, IOT, inovasi keusahawanan dan pelbagai bidang baharu yang menjadi pemacu masa depan ekonomi dunia.

Katanya, Cambridge University’s Trust juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MARA untuk berkongsi pembiayaan pelajar penyelidikan pasca ijazah di peringkat Sarjana dan PhD. 

“InsyaAllah jika semua perincian dipersetujui, MARA boleh jimat sehingga RM5 juta dengan penghantaran pelajar ke sini,” katanya. 

Asyraf berkata inisiatif kerjasama ini adalah sebahagian daripada agenda strategik MARA untuk memastikan anak bangsa tidak hanya bersaing di peringkat nasional, malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas akademik dan profesional antarabangsa. 

Pada masa sama, katanya, ia juga berperanan memperkasa warga pendidik MARA supaya terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran arus globalisasi.

*InsyaAllah, MARA akan terus berusaha memperkukuh jaringan antarabangsa ini, demi memastikan peluang terbaik dapat kita buka seluas-luasnya buat anak-anak Bumiputera dan negara,” katanya.-BH Online