LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selamat tiba di United Kingdom (UK) pada Ahad bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Heathrow pada jam 8.30 malam tadi (3.30 pagi waktu Malaysia) disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar, serta pegawai kanan kedutaan dan agensi kerajaan berkaitan.
Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuhkan hubungan Malaysia-UK dengan memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelancongan serta pelaburan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dijangka bertemu wakil institusi terkemuka seperti University College London, menyampaikan syarahan umum mengenai hala tuju TVET negara, serta berinteraksi dengan pelajar tajaan MARA.
Selain itu, beliau dijadual merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran UK, esok, bagi merancakkan aktiviti promosi pelancongan serta menarik pelabur dari Eropah ke Malaysia.
Lawatan kali ini akan turut menjadi medan penting untuk meningkatkan nilai strategik Malaysia-UK, memperluaskan jaringan diplomatik serta membuka lebih banyak peluang kerjasama kepada rakyat dan negara.
UK adalah rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan pada 2024 mencecah RM16.80 bilion (AS$3.68 bilion).-BH Online