Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kadar peratusan penduduk di Kelantan menghidap penyakit diabetes dan kolesterol lebih tinggi berbanding paras nasional.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati, 16.3 peratus rakyat Kelantan menghidap diabetes atau kencing manis berbanding 15.6 peratus pada peringkat nasional.

Katanya, daripada data NHMS 2023 itu turut mendapati 34.9 peratus penduduk di Kelantan menghidap kolesterol tinggi berbanding 33.3 peratus pada peringkat nasional.

“Bagaimanapun kadar prevalens untuk penyakit darah tinggi dan berat badan berlebihan di Kelantan masing-masing merekodkan 27.9 dan 51.6 peratus iaitu lebih rendah berbanding paras nasional.

“Dapatan daripada NHMS 2023 amat membimbangkan walaupun Kelantan mencatatkan prestasi lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional.

“Mendepani cabaran ini, KKM memperkenal dan melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform untuk menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh.

“Inisiatif ini sangat selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, peralihan daripada perkhidmatan berfokuskan rawatan kepada sistem yang menumpukan kepada pencegahan dan kesejahteraan,” katanya berucap merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Dzulkefly berkata, di Kelantan, Wellness Hub mula beroperasi pada 2021 dengan hanya sebuah unit kabin kecil, tetapi kini memiliki bangunan dua tingkat yang siap sepenuhnya pada 2024 dan kapasiti meningkat daripada 15 kepada 80 peserta setiap sesi.

“Sejak 2021 hingga 2024, Wellness Hub Kelantan menerima kehadiran lebih 92,000 klien, sama ada secara fizikal mahupun maya dan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan ditawarkan.

“Pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara percuma, termasuk saringan kesihatan dan kaunseling gaya hidup sihat.

“Transformasi kesihatan memerlukan kerjasama menyeluruh, bukan saja KKM, tetapi juga melalui kerjasama semua pihak dan rakyat sendiri. Saya yakin, dengan semangat bersama, Wellness Hub Kelantan akan terus menjadi contoh dan pemangkin kepada pembudayaan hidup sihat di seluruh negara,” katanya.-BH Online