KUALA LUMPUR: Malaysia dan China akan terus mempertingkatkan kerjasama strategik dalam industri halal, perdagangan, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tenaga hijau dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan China senada untuk terus mempertingkat kerjasama strategik, khususnya melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Dalam sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN 2025, saya mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Qiang dan menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi Republik Rakyat China memperkukuh kerjasama serantau di masa hadapan.
“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global, yang secara tidak langsung menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau dan global,” katanya menerusi Facebook.
Anwar berkata, kerjasama erat itu amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN.
“Semoga Sidang Kemuncak ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi rantau secara menyeluruh,” katanya.-BH Online