KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur (KL) mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama mampu menyumbang kepada keteguhan ekonomi blok itu, selain menjadikannya sebagai sebuah rantau yang lebih stabil dan selamat melalui program bersifat futuristik dalam tempoh dua dekad akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata adalah penting untuk ASEAN dilihat sebagai sebuah rantau yang stabil dengan blok itu membantu menyelesaikan negara berdepan permasalahan dalaman.
Katanya, penekanan juga perlu diberikan terhadap golongan gen Z dan Alfa bagi menentukan masa depan mengikut ekosistem pendidikan baharu. null
“ASEAN 2045 ini adalah satu program futuristik untuk tempoh 20 tahun akan datang bagi pembentukan ASEAN dengan keberadaan Timor Leste sebagai negara ke-11 menjadi anggota ASEAN.
“Paling penting, kita mesti juga melihat bahawa ASEAN sebagai rantau yang berada di dalam kedudukan keempat, dari segi keteguhan ekonomi harus lebih diperkukuhkan lagi dengan program bukan hanya sekadar intra ASEAN.
“Tetapi ia mesti dilihat sebagai satu rantau yang stabil apatah lagi jika ada negara yang masih menghadapi permasalahan dalaman, ia hendaklah diselesaikan demi semangat ASEAN.
“Dan kita mesti melihat 680 juta penduduk ASEAN ini diberikan penekanan melalui gen Z dan Alfa,” katanya kepada pemberita, di sini. null
Terdahulu, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama dimeterai hari ini, merangkumi lebih 500 langkah strategik dalam usaha memperkukuh masa depan serantau bagi dua dekad akan datang.
Dokumen strategik jangka panjang menggantikan pelan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, menjadi pelan hala tuju baharu ke arah membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berpaksikan rakyat.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, keterbukaan di dalam sistem guna tenaga di seluruh Negara ASEAN kini menjurus ke arah kebersamaan bagi menghadapi tantangan daripada daripada negara luar
“Kita mahu bahawa dunia keseluruhannya dan tidak kecuali negara ASEAN itu mendeklarasikan supaya soal unipolar itu tidak wujud tetapi mesti multipolar rantau ASEAN menjadi rantau yang selamat dan berkecuali,” katanya. -BH Online