Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Semua ibu hamil warganegara Malaysia akan menerima vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma, mulai hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata vaksin itu boleh didapati di semua fasiliti kesihatan primer KKM yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara.

Beliau berkata, pemberian vaksin bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi baru lahir yang terdedah kepada komplikasi pertussis atau batuk kokol sebelum melengkapkan jadual vaksinasi.

“Inisiatif baharu Imunisasi Tdap untuk Ibu mengandung (usia kehamilan antara 28-32 minggu) ini memberi perlindungan daripada tiga penyakit iaitu tetanus, difteria dan batuk kokol.

“Kajian antarabangsa menunjukkan vaksin ini selamat dan berkesan tanpa meningkatkan risiko kepada ibu atau bayi,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.

Dzulkefly menyifatkan tema ‘Imunisasi untuk semua, ayuh kita jayakan’ selari dengan komitmen KKM memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perlindungan melalui imunisasi.

Selain pelaburan jangka panjang dalam kesihatan awam, katanya, imunisasi juga mencerminkan prinsip keadilan sosial, dan kekal sebagai antara intervensi kesihatan yang paling berkesan.

“Kini kita mengorak langkah ke arah pendekatan imunisasi sepanjang hayat, meliputi perlindungan sejak dalam kandungan hingga ke usia emas. 

“Setiap fasa kehidupan membawa risiko kesihatan berbeza dan imunisasi menyeluruh membolehkan kita menangani beban penyakit secara berkesan,” katanya. 

Katanya, negara melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) sejak 1950 dan kini lebih 95 peratus kanak-kanak menerima imunisasi lengkap menerusi program berkenaan.

“Ini pencapaian yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai memenuhi piawaian liputan global.

“Antara vaksin utama termasuk untuk mencegah penyakit seperti tuberkulosis, Hepatitis B, polio, campak dan Rubela. 

“Kita juga memperluas vaksinasi kepada remaja perempuan (HPV), serta di kawasan tertentu seperti Sarawak yang menerima Vaksin Japanese Encephalitis (JE).

“Sebagai kesinambungan kepada peluasan vaksin Pneumokokal yang telah diumumkan, kita terus melindungi kanak-kanak menerusi pemberian vaksin ini sejak 2020 dalam jadual imunisasi NIP. 

“Ia membantu mengurangkan beban penyakit radang paru-paru yang boleh dicegah melalui vaksin,” katanya.-BH Online