Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar ASEAN, hari ini bersetuju supaya usaha rundingan dengan pihak yang bertelagah di Myanmar perlu diteruskan, ke arah menyelesaikan konflik berpanjangan di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu diputuskan pada Pertemuan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC) di sini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.

Katanya, rakan sejawatnya di ASEAN juga sepakat supaya keadaan di Myanmar perlu diurus dengan baik dan ia adalah satu keperluan kepada negara anggota ASEAN itu.null

“ASEAN mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Myanmar sebagai keluarga besar ASEAN berada dalam keadaan yang baik.

“Bukanlah kita mahu mencampuri hal ehwal dalaman Myanmar tetapi masalah di negara itu sudah pun menjadi masalah kepada negara ASEAN, terutama apabila ada pelarian dari Myanmar, masalah jenayah rentas sempadan dan pelbagai lagi yang menyebabkan ketenangan di ASEAN ini terganggu serta tergugat disebabkan masalah dalaman Myanmar itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan. Terdahulu, beliau menghadiri Pertemuan Tidak Rasmi mengenai 5PC.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, Menteri-Menteri Luar ASEAN juga menekankan keperluan pentadbiran Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar yang terajui junta untuk mematuhi 5PC.null

Katanya, 5PC yang dipersetujui semua pemimpin ASEAN dan turut ditandatangani Myanmar tidak sukar dilaksanakan, yang merangkumi menamatkan segala permusuhan dengan rakyat dan antara etnik, berdialog, penyaluran bantuan kemanusiaan tidak terganggu dan memastikan Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim dapat berjumpa dengan semua pihak di Myanmar.

“Ini semua sudah dilakukan tetapi masalahnya sekarang adalah masalah defisit kepercayaan antara satu sama lain kerana pergaduhan atau perbalahan antara etnik di Myanmar ini sudah berpuluh tahun.

“Jadi adalah amat susah untuk kita meyakinkan antara satu pihak dengan satu pihak tapi kita akan terus berusaha,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN merancang untuk mengatur pertemuan pihak berkepentingaan di Myanmar di Kuala Lumpur, Mohamad berkata, Malaysia merancang untuk ke Myanmar untuk menyampaikan hasrat pihak berkenaan kepada SAC.

“Kita tahu apa hasrat mereka dan nanti kita lihat pula maklum balas daripada SAC.

“Rundingan ini bukan sekali dua tapi perlu dilakukan banyak kali supaya persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain itu dapat dibina.

“Mesti ada jambatan yang boleh memberikan hubungan dua hala atau pelbagai hala dengan pihak yang bertentangan,” katanya.-BH Online