KUALA LUMPUR, Sebanyak AS$2.3 trilion potensi ekonomi boleh dijana sekiranya 334 juta bakat wanita di seluruh ASEAN dimanfaatkan secara optimum menerusi penyertaan aktif dalam sektor ekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata potensi besar itu boleh dicapai menerusi pendidikan, akses kepada peluang, dan dasar yang menyokong pemerkasaan wanita.
Katanya, menerusi ASEAN, ia boleh memperkukuh peranan wanita agar dapat terus menyertai tenaga kerja tanpa perlu memilih antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
“Tugas pemimpin ASEAN dalam sektor awam dan swasta adalah untuk memastikan wanita di rantau ini dihormati dan tidak menjadi mangsa mana-mana bentuk ketidakadilan. Rangka Kerja Ekonomi MADANI pula menekankan aspek kemampanan, kemakmuran dan keterangkuman, dengan pemerkasaan wanita diletakkan sebagai nadi kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang berlangsung di ibu negara.
Tambah Tengku Zafrul, bagi menyokong pembangunan ekonomi wanita, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya Program Pembangunan Pengeksportan Wanita yang telah membantu lebih 500 perniagaan wanita menembusi pasaran antarabangsa.
Selain Inisiatif Wanita dalam Industri (WITI) yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing wanita dalam sektor pengindustrian dan eksport. – Berita RTM