SINGAPURA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menyediakan insentif bersasar yang bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan industri semikonduktor tempatan, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dilaksanakan pada Julai bersempena dengan ulang tahun pertama pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak lagi mengenai apakah yang akan kami umumkan. Tetapi apa yang boleh saya katakan adalah kami akan terus menyokong industri ini.
“Kami telah mengadakan libat urus dengan industri untuk memahami keperluan dan keutamaannya. Sudah tentu, kami tahu apa yang industri mahu adalah lebih banyak sokongan fiskal untuk memperteguh ekosistem serta rangka kerja dasar yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada program rantaian bekalan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini.
Program berkenaan adalah antara program yang diadakan bersempena acara SEMICON Asia Tenggara (SEA) 2025 selaku platform utama bagi industri elektronik dan semikonduktor global di rantau ini.
Tengku Zafrul berkata, MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri semikonduktor ketika kementerian berkenaan mengemudi perubahan dalam industri di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong kerjasama dan dialog global bagi memastikan negara kekal relevan dalam rantaian bekalan global.
“Kita mengiktiraf hak kedaulatan negara untuk membangunkan industri domestik masing-masing, tetapi kita juga perlu menekankan kepentingan dalam kerjasama global,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah menjadi sebahagian daripada industri semikonduktor sejak 1970-an dan telah berkembang dengan berterusan, membina kerjasama yang teguh serta menarik penglibatan syarikat terkemuka dunia.
Menurutnya, pada tahun lalu sektor semikonduktor Malaysia menyumbang kira-kira AS$130 bilion (RM575 bilion) kepada eksport elektronik negara dan pada masa ini menyumbang sebanyak 13 peratus daripada output semikonduktor belakang di peringkat global.
Sementara itu, pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin industri, Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang giat mempelbagaikan pasaran dan setakat ini telah meratifikasi17 perjanjian perdagangan bebas (FTA).
“FTA Malaysia-Korea Selatan akan dimuktamadkan pada Oktober ini. Kita telah menyambung semula rundingan FTA dengan Kesatuan Eropah. Rundingan bagi menambah baik FTA dengan China dan India juga sedang dilaksanakan di peringkat ASEAN, dengan Malaysia mempengerusikan agenda itu pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga sedang giat memajukan rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) pada tahun ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul merasmikan Pavilion Malaysia di SEMICON SEA 2025.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membawa sembilan syarikat Malaysia untuk menyertai pavilion berkenaan, yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan disesuaikan dengan rantaian nilai mikroelektronik dan semikonduktor.
Lebih 90 syarikat Malaysia menyertai SEMICON SEA pada tahun ini.–BERNAMA