Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan ke Sabah pada akhir bulan ini, bagi merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Penampang.
Ia adalah lawatan kedua Perdana Menteri sepanjang bulan ini selepas menyempurnakan penutupan Program MADANi Rakyat di Tawau pada 11 Mei lalu.
Kehadiran Anwar pada sambutan Kaamatan itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Semalam, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkaitan sambutan perayaan berkenaan.
Katanya, Anwar dijadual merasmikan sambutan Pesta Kaamatan pada 30 Mei manakala penutupannya disempurnakan Musa pada 31 Mei.
Kaamatan disambut meriah dengan pelbagai acara kebudayaan pelbagai etnik Kadazandusun dan Murut yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan dan Kampung Budaya KDCA di Penampang.
Tarikh 30 dan 31 Mei adalah cuti umum di Sabah sempena meraikan sambutan kemuncak Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai yang menjadi perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun dan Murut.
Sambutan Kaamatan tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Montok Toinsanan’ yang bermaksud Kaamatan Untuk Semua.
Kehadiran Perdana Menteri pada sambutan itu bukan saja memeriahkan lagi sambutan Kaamatan, malah turut menarik perhatian berikutan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.
Beliau dijangka memberikan mesej penting berkaitan sokongan masyarakat Kadazandusun dan Murut yang menjadi antara penduduk terbesar di Sabah, selain isu penting lain termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan polemik Sabah untuk orang Sabah yang menimbulkan perbalahan dalam kalangan pemimpin parti tempatan dan nasional di Sabah.-BH Online