Kuala Lumpur: Malaysia mengulangi pendirian tegas bahawa kesihatan rakyat adalah asas kepada pembangunan mampan, sambil menzahirkan sokongan terhadap solidariti global serta menggesa gencatan segera serangan kemanusiaan di Gaza.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata One World for Health amat bertepatan dalam usaha membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan.
“Krisis kemanusiaan di Gaza adalah bencana kesihatan awam yang mana serangan itu didesak dihentikan serta-merta di samping hak rakyat Palestin terhadap penubuhan negara diiktiraf sepenuhnya.
“Komuniti antarabangsa mesti kekal teguh mengecam bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza,” katanya ketika berucap menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Palais des Nations, Geneva, malam ini.
Dr Dzulkefly mengetuai delegasi Malaysia ke WHA78 yang berlangsung dari Ahad hingga 22 Mei ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan penghargaan kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus atas laporan komprehensif yang dibentangkan.
“Tema ‘One World for Health’ amat bertepatan dalam usaha membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan, Malaysia menyambut baik kejayaan rundingan Badan Rundingan Antara Kerajaan (INB) yang dianggap sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi pandemik.
Katanya, Malaysia akan membentangkan satu resolusi penting bertajuk ‘Promoting and Prioritising An Integrated Lung Health Approach’ yang menggesa tindakan global dalam mencegah, mengesan dan merawat penyakit paru-paru sambil menggesa negara anggota menyokong resolusi itu.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut memaklumkan Malaysia kini giat mengintegrasikan perubatan genomik dan rawatan ketepatan melalui inisiatif MyGenom, selain mempercepat penggunaan teknologi kesihatan digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan rawatan.
“Malaysia juga menjadi tuan rumah acara sampingan WHA78 bertemakan kesihatan oral dan kami menyokong supaya agenda ini diberi tempat dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.
Beliau menegaskan sokongan Malaysia terhadap General Programme of Work ke-14 (GPW 14) dan menggesa semua negara berganding bahu demi kesihatan sejagat.
Sementara itu, katanya, Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025, diberi penghormatan menyampaikan Kenyataan Pengerusi bagi semua negara anggota Asean sempena WHA78.
Dalam kenyataan bersama itu, Asean mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan keselamatan kesihatan global pasca pandemik Covid-19 dengan berteraskan prinsip solidariti dan kesaksamaan sejagat.
“Seiring tema WHA kali ini, ‘One World for Health’, Asean mengiktiraf isu kesihatan pelbagai dimensi dan merentasi sempadan termasuk perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi serta cabaran geopolitik.
“Bersandarkan Deklarasi Asean mengenai Inisiatif Satu Kesihatan, kami memperkukuh Rangkaian Satu Kesihatan bagi mempertingkatkan penyelarasan tindakan di peringkat serantau,” menurut kenyataan bersama.
Kenyataan itu berkata, Asean mendukung tema WHA78, ‘Satu Dunia untuk Kesihatan’ dengan mengiktiraf cabaran kesihatan bersifat pelbagai dimensi dan rentas sempadan yang merangkumi perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan ketegangan geopolitik.
“Bertitik tolak daripada Deklarasi Asean mengenai Inisiatif Satu Kesihatan, kami memperkukuh Rangkaian Satu Kesihatan Asean bagi mempertingkat penyelarasan tindakan di peringkat serantau,” katanya.
Dr Dzulkefly menyatakan pencapaian penting Asean melalui mekanisme serantau seperti Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit Asean, Pusat Pemantauan Ancaman Biologi Asean (ABVC), serta Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan Asean.
“Justeru, usaha perlu dipertingkatkan bagi menjamin akses saksama dan segera kepada peralatan perubatan penting.
“Asean turut menekankan keperluan mempromosi pengeluaran tempatan serta kebergantungan kendiri dalam penghasilan vaksin, diagnostik dan terapeutik.
“Komitmen Asean terhadap keamanan dan kemakmuran rantau ini diterjemah melalui pengukuhan daya tahan serta kebergantungan kendiri serantau, antaranya menerusi Deklarasi Komitmen Asean Mengenai Keselamatan dan Kebergantungan Diri terhadap Bekalan Ubat yang bakal diumumkan,” katanya.
Dalam masa sama, Asean akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama WHO bagi membina dunia yang lebih sihat, selamat dan saksama, seiring tema Asean iaitu keterangkuman dan kelestarian.
“Keperluan pembiayaan mampan serta pembuatan keputusan secara inklusif perlu diberi penekanan demi kemajuan bersama, merapatkan jurang pembangunan dan memupuk kesatuan serantau,” katanya.
Menurut Dr Dzulkefly, Asean komited memperkukuh keupayaan mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap kecemasan kesihatan awam, selain memperluas perlindungan kesihatan sejagat melalui pemantapan sistem kesihatan dan kerjasama dalam gaya hidup sihat, kesihatan digital dan keselamatan kesihatan.
“Asean menyeru sokongan berterusan masyarakat antarabangsa untuk memperkukuh usaha kolektif membina Komuniti Asean yang lebih sihat dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat dan kemanusiaan sejagat,” katanya.-MyMetro Online