KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada kelulusan akademik bukanlah penghalang untuk mana-mana golongan belia menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), terutama mereka yang meminati bidang terbabit.
Beliau menjelaskan bahawa dengan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 selepas tamat mengikuti TVET, beliau mampu meraih gaji minimum RM2,500 sebulan sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan sepanjang tempoh April lalu hingga awal bulan ini, seramai 106,000 belia telah mendaftar untuk mengikuti kursus-kursus TVET di seluruh negara.
“Kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat prihatin terhadap pendidikan tidak konvensional untuk golongan belia.
“Belia terutama Gen Z dan Gen Alpha, harus merebut segala peluang pendidikan yang ditawarkan kerajaan sebelum mereka mencapai usia 40 tahun.
“Saya khuatir apabila mereka sudah mencapai usia 40-an, produktiviti akan merosot, badan mula sakit dan ketika itu susah mendapatkan peluang kerja jika tiada sebarang latihan serta ilmu pengetahuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Belia 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, TVET turut ditawarkan kepada golongan belia terbabit dalam sektor perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.null
“TVET sentiasa menunggu anda. Terdapat 1.16 juta golongan belia lama sudah menyertai latihan ini, dan mereka terdiri daripada kategori mempunyai kelulusan akademik dan juga tidak mempunyai kelulusan akademik.
“Seperti yang saya nyatakan tadi, walaupun tidak memiliki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), anda boleh memperoleh gaji minimum RM2,500 jika mempunyai SKM Tahap 3.
“Sekiranya anda mempunyai SKM Tahap 4 atau 5, ia bersamaan dengan taraf mempunyai diploma walaupun tanpa melalui sistem pendidikan konvensional,” katanya.
Malah, beliau berkata, golongan belia yang memiliki SKM Tahap 5 boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di enam universiti dalam negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Majlis Belia Negeri (MBN) Wilayah Persekutuan supaya tidak meminggirkan golongan belia yang tiada menyertai mana-mana persatuan.
“Tolong jangan meminggirkan mana-mana belia yang tidak berpersatuan… tolong ambil serius dan beri penekanan terhadap perkara ini.
“Mereka mungkin mempunyai masalah tersendiri yang mungkin berkaitan masa atau minat yang berbeza… namun MBN di seluruh negara harus libatkan mereka dengan segala program dan aktiviti sama ada pada peringkat belia persekutuan, negeri atau daerah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu golongan belia tiada berpersatuan seperti itu berasa terpinggir atau ditinggalkan.-BH Online