Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM8.5 juta diperuntukkan, tahun ini, bagi membiayai pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata peruntukan terbabit dijangka memanfaatkan kira-kira 500 pelajar Orang Asli.

Beliau berkata, ia sejajar usaha kerajaan memperkasakan pembangunan modal insan dalam komuniti berkenaan.

“Inisiatif ini adalah antara pelaksanaan Dasar Kemajuan Orang Asli yang diperkukuhkan.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli berjaya dalam kerjaya profesional seperti guru, jurutera, doktor, pegawai kerajaan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Mahasiswa Inspirasi (AMI), di sini, hari ini.

Rubiah turut menegaskan kejayaan pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran perlu dikongsi luas, terutama oleh agensi bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), agar menjadi inspirasi kepada generasi muda komuniti peribumi itu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mahasiswa Orang Asli supaya menguasai kemahiran digital, inovasi serta kepimpinan, kerana golongan berkenaan bakal menjadi agen perubahan dalam pembangunan komuniti mereka.

Mengenai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pula, Rubiah memaklumkan bahawa ia masih pada peringkat sesi libat urus.

“Saya difahamkan, laporan awal akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) akan datang.

“Ia merangkumi cadangan pindaan, termasuk takrifan Orang Asli, pembangunan tanah, kebajikan dan aspek lain yang sebelum ini kurang terperinci,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan itu akan memperkukuhkan perlindungan undang-undang komuniti Orang Asli agar hak dan kesejahteraan mereka terjamin.

“Ia bertujuan meningkatkan kebajikan dan keselesaan Orang Asli melalui perundangan lebih jelas bukan saja bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), malah seluruh sistem pentadbiran masyarakat Orang Asli,” katanya.-BH Online