Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,800 individu dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurun 13.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata statistik semasa menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang itu ialah 253 penagih bagi 100,000 penduduk di Kuala Lumpur.

“Kategori dadah yang menjadi pilihan utama mereka ialah Amphetamine Type Stimulants (ATS) dengan majoriti 65 peratus atau 3,768 orang bagi tempoh Januari hingga Mac lalu,” katanya pada program KL Car Free Morning sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Lebih 1,000 peserta menyertai larian sejauh lima kilometer (km) melalui jalan utama di sekitar ibu negara.

Sementara itu, beliau berkata, objektif program ini bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka. 

“Selain itu, aktiviti ini juga mampu memperkukuh peranan komuniti dalam pencegahan dadah dengan menggalakkan pembabitan komuniti khususnya masyarakat bandar termasuk belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah,” katanya. – BERNAMA