Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Dasar luar Malaysia yang berasaskan aman, bebas dan berkecuali serta mesra pelabur membolehkan negara menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak tanpa tekanan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan negara juga boleh berhubung dan menjalinkan kerjasama dua hala dengan mana-mana negara asalkan mereka mengamalkan sistem peraturan antarabangsa (rule-based order).

Katanya, dasar itu sudah diamalkan sejak negara ini merdeka dan pihak lain tidak perlu risau mengenai hubungan dua hala yang terjalin dengan negara lain termasuk Russia.

“Sebagai sebuah negara yang merdeka, kita mempunyai dasar luar yang tersendiri berasaskan kepada aman, bebas dan berkecuali.

“Kita juga tidak seharusnya tunduk atau ikut telunjuk kepada tekanan mana-mana pihak, kita boleh berhubung dengan sesiapa saja dan boleh berkawan dengan sesiapa saja asalkan negara itu mengamalkan peraturan dan undang-undang antarabangsa,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Sembilan 2025, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri,Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Russia Vladimir Putin menyatakan hubungan Russia-Malaysia semakin kukuh, sekali gus mengesahkan komitmen kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama yang bermakna dan produktif.

Putin menyatakan demikian selepas lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 13 hingga 16 Mei lalu yang jelas menunjukkan hubungan dua hala kedua-dua negara sedang berkembang dengan jayanya dan progresif.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata hubungan Malaysia dengan Russia sudah lama terjalin tetapi tidak diuruskan di peringkat tertinggi dengan pemimpin terakhir melawat negara itu ialah pada 2007 semasa Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Badawi.

“Perlu saya tegaskan, dalam persahabatan kita dengan Russia ini, kita tidak mengambil idealogi dia dan tumpuan kita adalah jalinan dari segi hubungan perdagangan.

“Ini kerana ekonomi kita berasaskan kepada perdagangan, adalah mustahak untuk kita membuka pasaran sebesar-besarnya, supaya membolehkan barangan kita dapat menembusi pasaran baharu.

“Dalam masa yang sama kita perlu menarik sebanyak mungkin pelaburan asing ke dalam negara demi untuk membangunkan negara ini sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, banyak yang ditawarkan oleh Russia termasuk tawaran 50 biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di negara berkenaan dalam bidang teknologi dan ijazah sarjana.-BH Online