Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad sepak takraw negara meskipun tewas kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi final acara regu berpasukan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Malaysia terpaksa akur apabila impian menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan terus tertangguh selepas tewas 0-2 dalam pertembungan yang berlangsung penuh sengit dan dramatik di hadapan ribuan penyokong tempatan.

Namun, Anwar menyifatkan pencapaian yang diraih barisan pemain negara tetap membanggakan.

“Meskipun tewas, pasukan negara telah mempamerkan prestasi yang membanggakan serta menunjukkan pencapaian luar biasa dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini,” katanya menerusi hantaran di laman X, hari ini.

Anwar turut menyuntik semangat buat skuad regu negara agar terus bangkit dalam kejohanan akan datang sambil menegaskan kekalahan kali ini bukan noktah kepada perjuangan mereka.

“Kekalahan hari ini bukan bererti kegagalan selamanya. Skuad regu negara pasti akan bangkit dengan lebih kuat dan padu dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang.”

Tambah beliau lagi, seluruh rakyat Malaysia menghargai pengorbanan dan dedikasi para pemain yang telah berjuang tanpa mengenal erti putus asa demi mengharumkan nama negara.

“Terima kasih atas semangat juang yang tinggi dan usaha yang tidak mengenal penat lelah demi mengharumkan nama Malaysia.”

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia Malaysia menjulang kejuaraan dalam acara berpasukan adalah pada Sukan SEA Manila 1991 dan sejak itu, pelbagai generasi pemain telah mencuba nasib namun masih belum berjaya memecahkan dominasi pasukan gergasi Asia, Thailand.-BH Online