Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JEJU (Korea Selatan): Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mereda akan membantu mengurangkan impak tarif terhadap ekonomi global, termasuk Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik perjanjian perdagangan AS-China baru-baru ini apabila dua ekonomi terbesar dunia itu bersetuju untuk mengurangkan tarif antara satu sama lain selama 90 hari.

“Bagi Malaysia, ini sesuatu yang baik kerana ini mengurangkan ketegangan antara AS dan China. Mereka memberi keutamaan kepada isu yang lebih penting, seperti (menyambung semula) perdagangan.

“Apa sahaja yang dilakukan oleh AS dan China akan memberi (impak) kepada ekonomi global. Malaysia juga akan terkesan kerana mereka merupakan rakan dagang terbesar kita,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, selain perbincangan dengan AS, Malaysia turut giat memberi tumpuan kepada isu perdagangan dengan China berdasarkan dinamik perdagangan global yang berkembang.

“Dengan China, kita tidak mempunyai sebarang masalah buat masa ini. Dari segi perdagangan, terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh industri kita, terutamanya dalam sektor logam dan kaca.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami mempunyai peluang untuk (menangani) kebimbangan mereka, membuat laporan dan sebagainya. Kami akan menjalankan siasatan,” katanya.-BERNAMA