Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Pelajar tahfiz yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan tajaan biasiswa penuh sekiranya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada pihak pengurusan MARA menerusi perbincangan bersama Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam tempoh terdekat.

“Biasiswa 100 peratus ini memang sudah diamalkan oleh Institut Pendidikan MARA (IPMA) khusus kepada pelajar cemerlang dan untuk pelajar UniKL serta UPTM, (namun) kita akan memberi keutamaan kepada pelajar maahad tahfiz pada tahun ini.

“Selain mereka menjadi huffaz atau penghafal al-Quran, mereka juga akan menjadi ahli profesional (selepas tamat belajar),” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2025 bagi Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka, di Hotel Mudzaffar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka merangkap Ahli Majlis, Majlis 

Agama Islam Melaka (MAIM), Prof Datuk Dr Mizan Hitam dan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Pada majlis itu, seramai 82 pelajar yang tamat menghafaz 30 juzuk al-Quran sepanjang tahun lalu selain 46 pelajar cemerlang SPM menerima sijil penghargaan masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 11 hingga 13 Jun depan akan membawa beberapa kelainan dengan membawa elemen baharu.

Katanya, elemen itu termasuklah berkaitan kenderaan elektrik (EV), teknologi maklumat (IT) dan e-Sukan.

“Kita akan membuka seluas-seluasnya pelbagai tawaran kepada bakal peserta atau pelajar yang menghadiri sambutan TVET ini untuk melihat pameran serta mengenal pasti peluang yang akan mereka peroleh apabila berdaftar di institusi TVET di seluruh negara.

“Pada masa sama, mereka juga boleh melihat sendiri peluang pekerjaan dan juga tangga gaji yang akan mereka nikmati selepas keluar daripada institusi TVET ini kelak,” katanya.-BH Online