KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap kesepaduan ASEAN dan pembabitan konstruktif dengan rakan serantau termasuk Kemboja, di tengah cabaran geopolitik kompleks dan kebimbangan meningkat mengenai penindasan rentas sempadan.
Dalam temu bual dengan 101 East Al Jazeera, yang disiarkan semalam di platform YouTube saluran itu, Anwar berkata, ASEAN mesti kekal bersatu ketika mengharungi landskap global yang semakin tidak menentu, terutama berikutan tekanan meningkat daripada kuasa besar dan ketegangan perdagangan yang memuncak.
“Kami sudah menunjukkan kesepaduan. Saya fikir kita perlu mengukuhkan ikatan itu bersama dalam persekitaran geopolitik yang berubah ini.
“Fokusnya adalah pada perdagangan dalaman, pelaburan dan mengambil pendirian bersama berhubung kuasa besar serta jiran kami,” katanya dalam temu bual bersama wartawan kanan, Mary Ann Jolley.
Anwar juga menyifatkan hubungan Malaysia dengan negara jiran sebagai ‘cemerlang’, menekankan bahawa banyak isu serantau lebih baik diselesaikan melalui pembabitan peribadi secara langsung.
Beliau mengulangi bahawa pemusatan ASEAN mesti kekal sebagai prinsip panduan teras ketika rantau ini berdepan dinamika perdagangan global baharu, termasuk dasar tarif yang boleh menjejaskan negara anggota.
Sambil mengakui perubahan tarif, terutama dari Amerika Syarikat, boleh memberi kesan negatif kepada Malaysia, beliau berkata, “Jika kita dapat menjamin perpaduan ASEAN, kita mungkin dapat mengurangkan sedikit kesannya.”
Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Selain Malaysia, ASEAN membabitkan sembilan lagi negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Menyentuh isu penipuan siber yang semakin berleluasa di Asia Tenggara, termasuk Kemboja, Anwar berkata, ASEAN sudah meningkatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan.
Beliau menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Kemboja terbabit secara langsung dalam industri penipuan itu, walaupun terdapat laporan daripada badan pemerhati antarabangsa.
“Kami kini mempunyai pembabitan lebih proaktif dalam ASEAN mengenai keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan…Kami sedang berusaha ke arah mewujudkan peraturan bersama,” katanya.
Anwar turut menyatakan Malaysia terus mengekalkan kerjasama rapat dan berkesan dengan pihak berkuasa Kemboja, menggambarkannya sebagai ‘tiada tandingan’.
Beliau berjanji akan menyuarakan masalah baharu terus kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya, Perdana Menteri (Hun Manet),” katanya.– BERNAMA