PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejujuran, semangat juang dan pemikiran kelas pertama perlu terus disemai dalam kalangan warga kerja sebagai tunjang kemajuan negara.
Susulan itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perhimpunan bulanan yang diadakan bersama kakitangan bukan sekadar rutin bulanan, tetapi ruang muhasabah dan suntikan semangat untuk semua pihak terus melangkah dengan iltizam dan integriti.
“Tema sambutan Hari Pekerja 2025 iaitu ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ mengangkat peranan penting warga kerja sama ada di sektor awam mahupun swasta dalam memacu pembangunan negara,” katanya dalam catatan di Facebook sempena kehadirannya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Baiduri, Menara PETRA di sini, hari ini.
Sementara itu sempena Hari Air Sedunia 2025 bertemakan ‘Glacier Preservation’, Fadillah menggesa semua pihak mengamalkan penggunaan air secara berhemah.– BERNAMA