Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman terbaru oleh rejim Zionis Israel untuk terus meningkatkan serangan ketenteraan di Gaza, meskipun usaha ke arah gencatan senjata sedang giat dijalankan. 

Wisma Putra berkata, tindakan rejim Zionis Israel yang secara terang-terangan meneruskan pembunuhan beramai-ramai, menggunakan kelaparan sebagai senjata, serta pengusiran besar-besaran rakyat Gaza atas nama “pemindahan secara sukarela”, sambil mendesak negara-negara lain menerima pelarian Palestin yang diusir, merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, hampir 2.4 juta rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya berulang kali diusir dari kediaman mereka, terus berhadapan dengan kebuluran, pengeboman berterusan, dan ancaman pengusiran kekal. 

“Hasrat Israel untuk mengekalkan kehadiran ketenteraan jangka panjang di Gaza hanya mengukuhkan lagi dasar penjajahan terhadap wilayah Palestin.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut agar rejim Israel menghentikan kekejaman ini dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Malaysia terus menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka yang sah untuk kebebasan, maruah dan pembentukan negara sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Malaysia menegaskan pendirian prinsipnya bahawa Palestin mesti diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, serta diberikan keanggotaan penuh dalam PBB sebagai negara yang setaraf.-BH Online