Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit nahas mengorbankan sembilan anggota pasukan itu di Teluk Intan, semalam mempunyai rekod penyelenggaraan baik meskipun usianya mencecah 28 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, status itu menjadikan kenderaan tempur yang dibuat pada 1997 itu masih dinilai ‘roadworthiness’ atau layak berada di atas jalan raya.

“Saya kena tegaskan bahawa walaupun umurnya sudah lama iaitu pembuatan tahun 1997, tetapi rekod penyelenggaraannya tiada masalah… justeru ia masih layak untuk berada di atas jalan raya.

“Jadi, insiden semalam terlalu awal untuk kita ramalkan sama ada kemalangan itu berpunca daripada ‘human error’ (kesilapan manusia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, seorang daripada sembilan anggota FRU yang maut di Blok A Markas FRU Unit 5 di sini hari ini.

Saifuddin dalam pada itu menzahirkan komitmen untuk memberi keutamaan dalam menambah baik semua aset milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya polis, terutamanya dari segi ciri keselamatan.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan supaya kenderaan tempur seperti trak FRU dikenakan peraturan baharu seperti kewajipan memakai tali pinggang keledar untuk semua penumpang termasuk di bahagian belakang. 

“Untuk kenderaan tempur seperti trak FRU ini akan ada pro dan kontra jika adanya tambahan tali pinggang keledar. Kenderaan tempur bermaksud kalau mereka anggota digerakkan untuk sesuatu misi, maka setiap satu atau dua saat sangat bernilai.

“Bayangkan kalau berlaku apa-apa peristiwa dan insiden yang sekadar akan memakan dua atau tiga saat bagi menanggalkan (tali pinggang keledar tambahan) itu pun mungkin akan kompromi dari sudut kualiti,” katanya.-BH Online