KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Peringkat ASEAN (AI Summit) pada 12 dan 13 Ogos ini selaku Pengerusi ASEAN, sebagai usaha memperkukuh kerjasama dan membentuk rangka kerja kepercayaan serantau bagi teknologi AI yang selamat dan beretika.
Menteri Komunikasi, Gobind Singh Deo, berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang ‘dipercayai secara digital’, sejajar dengan tumpuan terhadap kepercayaan digital dalam pembangunan teknologi termasuk AI.
“Sidang kemuncak ini bertujuan untuk mengetengahkan isu berkaitan keselamatan dan kepercayaan AI, serta membincangkan kerangka kerja serantau yang dapat membantu kita membina ekosistem AI yang selamat secara bersama,” katanya ketika sidang media dalam perasmian PwC AI Leadership Conference 2025 di sini, hari ini.
Persidangan anjuran firma perkhidmatan profesional, PwC itu menghimpunkan pemimpin sektor awam dan swasta untuk membincangkan cabaran dan potensi AI dalam landskap kepimpinan moden.
Gobind menambah, AI bukan sahaja memberi impak kepada Malaysia, malah kepada seluruh rantau dan dunia, maka penting untuk negara-negara ASEAN berganding bahu dalam membangunkan dasar dan ekosistem AI yang berpaksikan nilai bersama.
“AI akan memberi kesan kepada semua sama ada di peringkat nasional, serantau mahupun global. Maka, kita perlu ada rangka kerja dan pendekatan kolektif untuk memastikan pembangunan AI berlangsung secara bertanggungjawab dan membawa manfaat kepada semua,” katanya.
Dalam ucapannya, Gobind menegaskan bahawa kepercayaan digital merupakan teras penting dalam kemajuan teknologi, dan Malaysia perlu membina dasar serta ekosistem yang memastikan keselamatan data, ketelusan algoritma serta akauntabiliti dalam penggunaan AI.
“Kita perlu pastikan sistem AI yang dibangunkan tidak berat sebelah dan telus dalam membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kementerian kini sedang menyemak semula dasar-dasar berkaitan teknologi dan AI agar selari dengan keperluan semasa serta perubahan landskap teknologi.
“Teknologi berkembang pantas maka dasar kita juga perlu sentiasa dikemas kini. Peranan kerajaan adalah untuk memastikan terdapat keseimbangan antara inovasi dan perlindungan hak pengguna,” katanya.
Dalam majlis hari ini, Gobind turut melancarkan Data Management Association (DAMA) Malaysia bagi cawangan Kuala Lumpur dan Selangor dengan kerjasama PwC.
Sidang Kemuncak AI yang bakal berlangsung dijangka menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari negara-negara ASEAN, bagi merangka hala tuju bersama dalam membangunkan AI yang selamat, boleh dipercayai dan memberi impak positif kepada masyarakat.-BH Online