Langkawi: Sebanyak 124 pesawat tentera dan komersial mengesahkan menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (Lima ’25) mulai 20 hingga 24 Mei ini.
Daripada jumlah itu, 52 pesawat bakal menyertai pameran statik di tarmac Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, manakala 72 lagi terbabit dalam pertunjukan udara dan ‘opening gambit’ pada hari pembukaan.
Semakan di laman sesawang penganjur Lima ’25, mendapati 21 pesawat mewakili lima agensi keselamatan negara mendominasi tapak pameran statik pada acara dwitahunan itu.
Tentera Udara Diraja Malaysia memperaga tujuh pesawat, Tentera Laut Diraja Malaysia (lima), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (empat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (tiga) dan Polis Diraja Malaysia (dua).
Malah, pada Lima edisi ke-17 ini pameran statik turut dimeriahkan dengan kehadiran pesawat canggih dan moden dari Amerika Syarikat (AS), Russia, Brazil, Austria, Jerman, Thailand, Republik Czech serta Singapura.
Beberapa pesawat ringan turut dipamerkan termasuk L 410 NG oleh Mycopter Aviation Services, Cessna 172 (Perak Aero Club), Piper 28 (Air Adventura Flying Club, Seletar Flying Club dan Phuket Flying Club).
Turut serta, pesawat ringan H160 oleh Gading Airbus Helicopters H160, Dornier 228 (Hindustan Aeronautics Limited), DA62 MPP (Diamond Aircraft Austria) dan Microlight Aircraft (Flystrike Sdn Bhd).
Menerusi laman sesawang sama, pasukan aerobatik Russian Knights dari Russia bakal beraksi dengan enam pesawat Sukhoi SU-30SM, manakala Surya Kiran (India) menggunakan 12 pesawat BAE Systems Hawk Mk-132.
Seterusnya, pasukan aerobatik The Jupiters dari Indonesia bersedia melakukan formasi mempesona bagi menghiburkan pengunjung menerusi enam pesawat KT-1B Woong Bee buatan Korea Selatan.
Tidak ketinggalan, juruterbang TUDM bakal menampilkan persembahan solo menerusi pesawat pejuang SU-30MKM dan F/A-18D Hornet, selain Extre 300L (Aerotree) dan GB 1 Gamebird (Layang-layang Fliying School).
Deruman enjin 32 pesawat TUDM lain terdiri SU-30MKM, F/A-18D Hornet, HAWK, PC7MKII, A400M, EC-725, AW-139 dan EC120B pula bakal menggegarkan langit Langkawi pada majlis perasmian 20 Mei ini.
Laman sesawang sama turut memaklumkan 12 pesawat AS terdiri dua pesawat pengebom B-52, F/A18 (sembilan) dan E12 (satu) akan melakukan penerbangan lintas pada hari pertama Lima ’25.-MyMetro Online