KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong serta pentadbiran beliau dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala.
Perdana Menteri berkata, hubungan dua hala Malaysia-Singapura sudah lama terjalin dengan berteraskan sejarah bersama, kerjasama ekonomi yang erat dan hubungan rakyat sesama jiran.
Beliau dalam satu panggilan telefon dengan Wong, hari ini, turut menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan besar diraih Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura, kelmarin.
Anwar berkata, mandat kukuh diperoleh PAP apabila memenangi 87 daripada 97 kerusi pada PRU berkenaan mencerminkan keyakinan serta kepercayaan tinggi rakyat Singapura terhadap kepimpinan Wong.
“Saya yakin bawah kepimpinan beliau, hubungan dua hala antara Malaysia dengan Singapura akan terus berkembang dengan lebih kukuh, terutama ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, semalam.
Pada pilihan raya kali ini, PAP bukan saja berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen, malah meningkatkan jumlah undi popular kepada 65.57 peratus berbanding 61.24 peratus pada PRU 2020.-BH Online