KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa tanggungjawab mengurus kelab bola sepak hanya diberikan kepada pihak yang benar-benar berkeupayaan dari segi kewangan dan pengurusan demi memastikan kelangsungan liga domestik serta menjaga kebajikan pemain.
Beliau berkata, kegagalan sebahagian kelab dalam mengurus perkara asas seperti pembayaran gaji dan kebajikan pemain berkemungkinan besar menjejaskan usaha menarik minat penaja untuk terus menyokong pembangunan sukan bola sepak.
“Jadi kalau bola sepak rasa susah untuk mendapatkan penaja, bayangkan sukan lain. Bola sepak mempunyai penonton yang ramai, oleh sebab itu, saya rasa untuk meyakinkan penaja, mereka hanya nak lihat cara pentadbiran kelab, bagaimana membayar gaji ataupun menjaga kebajikan pemain.
“Saya minta kalau yang tak mampu jangan ‘sentuh, biar orang lain ambil. Kadang-kadang ada yang tak mampu tetapi nak simpan kuasa itu, jadi orang lain tak boleh ‘sentuh’,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi meraikan skuad olahraga Jerman oleh Kedutaan Jerman di sini, malam tadi.
Hannah turut mengingatkan bola sepak bukan sukan yang murah kerana ia memerlukan ekosistem yang besar untuk memastikan perjalanan liga dan pembangunan pemain berjalan lancar.
Krisis kewangan yang membelenggu pasukan bola sepak tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin meruncing apabila Perak FC mengambil keputusan membubarkan pasukan dan menarik diri daripada saingan Liga Super musim baharu manakala beberapa lagi pasukan dilaporkan sedang menimbang langkah sama.
Perak dilaporkan sudah membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lalu.
Mengulas hala tuju Liga Malaysia, Hannah berkata badan pentadbir Liga Bolasepak Malaysia (MFL) wajar mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan bagi memastikan masa depan liga lebih terancang dan mampan.
Sementara itu, Hannah berkata pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim adalah contoh kelab profesional yang wajar dijadikan penanda aras oleh kelab lain dan tidak melihat dominasi Harimau Selatan itu menyebabkan saingan liga hilang unsur kompetitif. – BERNAMA