PARIT BUNTAR: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak melancarkan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah yang dilengkapi teknologi moden, sebagai usaha menyokong kelangsungan bekalan benih padi berkualiti tinggi, selain menjadi pusat rujukan utama padi di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pusat berkenaan bukan sekadar fasiliti pengeluaran benih, malah menjadi nadi baharu kepada lebih 16,000 pesawah di negeri ini yang mengusahakan tanaman padi seluas 36,000 hektar.
“Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 tan setahun atau 250,000 beg benih padi sah, pusat ini dijangka berperanan penting memastikan keterjaminan makanan negara dan membela nasib pesawah.
“Lebih membanggakan, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan bakal menjadi pusat rujukan utama negara dalam pengeluaran benih padi berkualiti,” katanya berucap pada majlis Perasmian pusat Pengeluaran Benih Padi Sah berkenaan, di sini, hari ini.
Empat strategi utama dirangka dalam pelan reformasi industri padi iaitu pengukuhan infrastruktur pengairan, pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah terbiar serta penstrukturan semula rantaian nilai industri.
Selain Perak, tiga lagi Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah turut diwujudkan iaitu di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu (Pulau Pinang), PPN Kedah dan PPN Selangor yang masih menunggu kelulusan kuota.
Mohamad berkata, pelancaran pusat itu seiring dengan dua agenda besar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini iaitu reformasi industri padi dan beras serta peningkatan produktiviti sektor ruminan seperti daging lembu dan kerbau.
Katanya, industri padi kini memerlukan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh, bukan saja untuk mencapai kemandirian bekalan, tetapi meningkatkan pendapatan pesawah dan menjadikan sektor itu lebih mampan serta berdaya saing.
“Kita berdepan cabaran cuaca dan peningkatan permintaan. Jika sekarang pengeluaran beras hanya pada tahap 56 peratus, kita perlu tingkatkan kepada sekurang-kurangnya 71 peratus untuk menjamin keperluan negara mencukupi,” katanya.
Mohamad berkata, kewujudan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah bukan sekadar bagi memenuhi keperluan pesawah tempatan, tetapi satu pelaburan jangka panjang yang mampu merangsang pembangunan ekonomi dan sosial kawasan sekitar.
“Ini bukan hanya kejayaan peladang, tetapi bukti kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti. Kita percaya menerusi usaha bersepadu, industri padi negara akan terus maju dan menjamin masa depan generasi akan datang,” katanya.-BH Online