Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

RANTAU PANJANG: Projek pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang sudah dipersetujui oleh kedua-dua negara akan membabitkan dasar tiga kementerian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia membabitkan kementeriannya selain Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, jambatan sedia ada itu dibina sejak 1973 dan persetujuan Malaysia-Thailand adalah untuk membina jambatan baharu.

“Sebagai persediaan untuk ke arah itu, tiga komponen penting perlu dibangunkan membabitkan tiga kementerian.

“Komponen pertama membabitkan Kementerin Dalam Negeri (KDN) dan kita memerlukan tanah untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang baharu.

“Komponen kedua, Kementerian Kerja Raya kerana ia membabitkan laluan di Rantau Panjang, manakala komponen ketiga pula adalah Kementerian Pengangkutan. Cadangan dari Thailand adalah perkhidmatan kereta api dari Bangkok sehingga ke Rantau Panjang, manakala permintaan Kelantan pula stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga ke Rantau Panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan pangkalan haram di sini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Ditanya sama ada projek berkenaan akan diteruskan, Saifuddin berkata, ia akan diteruskan dan pihak KKR kini sedang memuktamadkan perkara itu dengan kontraktor.

“Bila projek ini akan bermula ia akan diselaraskan dengan semua,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra kerana merealisasikan projek pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok.

Perkara itu dinyatakan Anwar pada mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn di Government House, sempena lawatan kerja ke Thailand bulan lalu.

Menerusi mesyuarat berkenaan, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran perjanjian berkaitan pembinaan jambatan kedua dan kerja menaik taraf jambatan sedia ada menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Sungai Golok di Narathiwat.-BH Online