Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA SELANGOR: Tindakan pengamal perubatan am (GP) swasta yang mahu berarak ke Pejabat Perdana Menteri pada Selasa ini bagi membantah dasar mewajibkan harga ubat-ubatan dipamerkan adalah hak demokratik mereka, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, kementerian tidak akan menghalang protes itu dan bersedia menerima memorandum yang ingin dikemukakan oleh kumpulan profesional terbabit.

“MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) dan GP merancang untuk berhimpun, itu adalah hak demokratik mereka. Saya tidak akan menghalang, tetapi secara jujur saya mahu mereka memahami apa yang diperjuangkan oleh kementerian dan saya sendiri untuk pihak mereka.

“Saya yakin mereka akan melakukannya secara beradab dan penuh hormat, malah saya bersedia menerima sebarang memorandum yang ingin disampaikan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Kembara Tolak Ubat Tidak Sah’ di sini, hari ini. 

Sebelum ini, MMA dijadual menganjurkan protes dari bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) ke Pejabat Perdana Menteri disertai GP, pada Selasa ini sebagai membantah dasar mewajibkan pusat perubatan swasta mempamerkan harga perubatan. 

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berharap kumpulan GP memahami usaha berterusan kementerian, khususnya dalam menyemak semula struktur fi perundingan iaitu isu yang diperjuangkannya sejak penggal pertamanya sebagai Menteri Kesihatan dari 2018 hingga 2020. 

“Anda boleh teruskan perhimpunan itu, tetapi perlu diingat bahawa saya sebagai menteri anda, bekerja untuk anda sejak penggal pertama lagi dan masih komited untuk menyelesaikannya.

“Komitmen terhadap pelabelan harga ubat itu seharusnya datang daripada pihak anda. Kita faham keperluan orang ramai dan pengguna yang mahu ketelusan dalam hal ini,” katanya.

Beliau menyifatkan GP sebagai tunjang sistem penjagaan kesihatan primer dan berharap mereka terus memperkasa perkhidmatan kesihatan negara.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan GP merancang untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah pelaksanaan wajib pelabelan harga ubat-ubatan yang bermula secara rasmi pada 1 Mei lalu.

Langkah itu bertujuan memastikan orang ramai boleh membuat pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membanding dan memilih harga terbaik dalam menguruskan perbelanjaan ubat-ubatan mereka. 

Ia akan dikuatkuasakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025, selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723). 

Keperluan pelabelan harga itu meliputi semua ubat untuk kegunaan individu termasuk ubat preskripsi dan bukan preskripsi, ubat di kaunter (OTC), ubat tradisional, suplemen kesihatan.-BH Online