Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN, 30 April – Sebanyak RM27,043,020.12 telah dibelanjakan bagi projek pembangunan yang telah diluluskan untuk suku pertama tahun kewangan 2025, iaitu bagi tempoh Januari hingga Mac.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan pembangunan yang diluluskan bagi tahun tersebut, berjumlah RM135 juta.

“Prestasi perbelanjaan tiga vot tertinggi yang dicatatkan bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berdasarkan vot pembangunan adalah Vot P50 Pejabat Menteri Besar dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM17,684,165 iaitu 39.3 peratus.

“Ia diikuti Vot P54 Jabatan Pengairan dan Saliran berjumlah RM1.207 juta dengan kadar perbelanjaan 11.34 peratus, dan seterusnya Vot P59 Bangunan-Bangunan Kerajaan sebanyak RM664,312.40 atau 5.11 peratus,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 361 projek direkodkan setakat suku pertama tahun ini berdasarkan vot pembangunan.

Daripada jumlah itu, 31 projek berada dalam kategori belum siap, 177 dalam fasa pra-pelaksanaan, 143 dalam pelaksanaan, dan 10 projek telah siap sepenuhnya.

Aminuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diwakili oleh ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berlangsung di sini.-Berita RTM