Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negara, khususnya di ibu kota perlu seiring dengan dasar kerajaan iaitu yang mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan, bukannya golongan kaya semata-mata.

Justeru itu, Perdana Menteri menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membuat hebahan setiap bulan ke atas semua projek pembangunan besar khususnya pembinaan rumah mampu milik yang akan dibina di semua bandar raya utama di seluruh negara.

Anwar menjelaskan, biarpun dasar jelas itu sudah menjadi pendirian kerajaan sejak 2022, namun hasil dasar yang diumumkan itu perlu benar-benar dirasai dan sudah mula dimanfaatkan oleh rakyat, khususnya golongan paling memerlukan. 

“Dalam rancangan pembangunan, kita kurang beri penekanan kepada projek yang memberi faedah kepada majoriti rakyat. Tanggungjawab kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meluluskan projek perlu beri penekanan kerana jumlah yang tunggu untuk mendapatkan rumah yang munasabah, mampu milik, yang memenuhi selera dan kepentingan rakyat itu sangat ramai.

“Sebab itu dalam dasar kerajaan, saya sudah katakan mana-mana projek rumah swasta yang mahu dibangunkan, jangan dihalang. Kerja kita percepatkan. Siapa mampu dia beli, mahal pun mahallah.

“Tetapi harus ada dasar yang jelas dalam kalangan pemerintah dan pegawai, penjawat awam untuk beri penekanan hal ini (keutamaan rumah mampu milik). Kalau tidak pembangunan yang (diluluskan hanya) menyebabkan kelompok yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.

Projek pembangunan Rumah Belia Madani membabitkan pembinaan satu blok 25 tingkat menempatkan 1,048 unit kediaman berkeluasan 400 kaki persegi bagi jenis studio dan 550 kaki persegi bagi unit dua bilik dan satu tandas.

Kediaman itu turut dilengkapi lima unit pengecas kenderaan elektrik; dewan serbaguna, surau, dobi dan gerai, dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan sehingga 2030.

Sementara bagi projek rumah mampu milik, ia membabitkan pembinaan tiga blok kediaman menempatkan 1,996 unit berkeluasan 820 kaki persegi dan memiliki tiga bilik serta dua tandas.

Projek usahasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini turut dilengkapi kolam renang, gimnasium, gelanggang Pickle Ball dan bola jaring, taska, tadika, dobi dan surau.

Mengulas lanjut, Anwar juga mahu projek memperbaiki dan membangunkan semula Flat Sri Perlis di ibu negara dilaksana segera sama seperti mulanya pelaksanaannya dua projek kediaman ini. 

“Tidak akan ada ketenangan sosial kalau masalah kegelisahan ini berterusan. Mahu makan mahal, gerai cari makan tak ada, kalau ada tak bersih, rumah tak cukup, kalau ada macam (Flat) Sri Perlis, sejak 60an keadaan tak berubah. Bila kita mahu baiki ada yang bantah.

“Tak apa tak ada mercu tanda, saya tak peduli, saya bangga masa Anwar (jadi Perdana Menteri) rumah rakyat, gerai diperbaiki, itu yang saya mahu. Saya tak fikir wajar kita layan pandangan meleset (yang membantah ini), kita harus tumpu bangunkan negara ini,” katanya.

Anwar juga menegaskan, kerajaannya sama sekali tidak pernah mengambil tanah Melayu untuk kepentingan pihak tertentu, sebaliknya usaha membangunkan semula kawasan perumahan uzur ini demi meningkatkan keselesaan penduduk dan rakyat di bawah. 

Sementara itu, menyentuh soal tarif dagang dikenakan Amerika Syarikat (AS), Anwar memaklumkan akan memberi penjelasannya pada sidang Dewan Rakyat khas Isnin ini.